Sabtu, April 20, 2024

Sabah perlukan bantuan kecemasan segera – Anwar Ibrahim

0
SHARES
2.3k
VIEWS
Astro Awani
KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Sabah memerlukan sokongan kerajaan memandangkan lebih daripada 50 peratus kes COVID-19 dilaporkan di negeri itu setiap hari.
Kata Anwar, kerajaan perlu menyalurkan dana bantuan kecemasan segera dalam bentuk kewangan dan makanan, selain menyeru agar Kementerian Kesihatan (KKM) telus dalam menyampaikan maklumat berkenaan sebarang strategi yang diambil dalam membendung wabak virus itu.
“Pertama, sistem kesihatan di Sabah yang kita telah sedia maklum kekurangan dana, staf dan sumber daya kini ditimpa dan dibanjiri impak dari pandemik ini.
“KKM telah mengalihkan segala sumber yang ada ke Sabah, dan usaha ini tidak harus dibebankan pada kementerian sahaja.
“Rencana ini memerlukan dukungan politik dan kepimpinan yang jelas, penglibatan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan beberapa kementerian lain bagi menggerakkan pasukan-pasukan perubatan dan kelengkapan perubatan yang diperlukan, mempertingkatkan aspek logistik bagi meluaskan lagi bantuan di Sabah,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Malah, Anwar turut menyatakan bahawa pakar juga telah meramalkan bahawa kadar jangkitan dijangka akan terus meningkat di Sabah tatkala virus tersebut terus merebak dalam kalangan rakyat dan sebarang maklumat serta strategi dalam membendung wabak ini perlu disampaikan secara terbuka.
Selain itu, Anwar juga mengulangi gesaannya sebelum ini berhubung pelanjutan moratorium pinjaman selama enam bulan dan mengingatkan mereka untuk tidak melupakan kumpulan minoriti yang akan memerlukan bantuan tambahan kerana Sabah berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Memandangkan hampir seluruh Sabah kini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), saya menggesa kerajaan untuk memikirkan bantuan kecemasan berupa kewangan dan makanan kepada rakyat yang terkesan, dan ini sangat penting dalam memastikan warga yang terpinggir dapat meneruskan hidup,” katanya dalam kenyataan itu.

Related Posts

Discussion about this post


Instagram Anwar Ibrahim Twitter Anwar Ibrahim Youtube Anwar Ibrahim Facebook Anwar Ibrahim